Bergerak ke Arafah
19 Ogos 2018 Ahad
8 Zulhijjah. Sehari sebelum wukuf.
Subuh sebelum berangkat ke Arafah
Menjelang Subuh, sepanjang pergi dan balik ke
masjid, aku menyaksikan ramai Jemaah yang menunggu bas mahupun teksi untuk
bergerak ke Arafah. Bas Rayhar dijadualkan tiba selepas Asar. Nombor tilamku
juga sudah diperolehi, 1279.
Bagasi untuk ke Arafah
Selepas Zohor pula, kami bergegas ke dewan
makan untuk makan tengah hari. Rupanya makanan sudah tersedia lebih awal, sejak
1130am lagi. Jadi kami makan saja apa yang masih tinggal.
230pm. Menunggu di bilik.
Akhirnya sudah tiba masanya.
Saat kemuncak ibadah haji.
Yang ditunggu-tunggu.
Ada sedih.
Ada sayu.
Ada keterujaan.
Ini yang pertama.
Mungkin juga yang terakhir.
Buatlah sebaiknya.
Hadiahkan kehambaan sepenuh hati.
Lahirkan ketaqwaan.
Mintalah yang baik-baik.
Untuk diri, keluarga dan seluruh umat.
Kerisauan meningkat. Tidak dapat bayangkan
bagaimana keadaan di Arafah nanti. Ramai
yang menunggu di lobi walaupun pemberitahuan oleh pihak Rayhar hanya boleh
didengari dari bilik.
Asar di bilik memandangkan bas belum tiba lagi.
530pm bas kami (no. 25 dari 29 bas) sampai
setelah hampir 3 jam menanti. Itu bas pertama dari hotel kami.
Bas sudah tiba
Dalam perjalanan, sudah ku nampak awan besar yang
gelap. Awan itu pula bergerak ditiup angin. Sangkaku awan tapi rupanya pasir. Ohhh..ribut
pasir di Arafah!
630pm Bas sampai di Arafah. Menjejakkan kaki di
Arafah, tempat yang hanya bernyawa satu hari satu malam dalam setahun. Kami
disambut oleh hujan lebat dan angin kuat. Terus aku mencari tilam di khemah, meletakkan
beg. Satu khemah yang besar, boleh masuk dalam 500 jemaah.
Di dalam khemah
Tandas wanita (sebelum ribut)
Di luar, angin bertiup kencang membawa bersama
pasir. Dalam suasana kelam kabut itu, aku solat Maghrib dan kemudian mengambil
makanan. Nasi sudah bercampur pasir. Mata juga masuk pasir. Makan sekadar
mengalas perut saja. Penumpang bas-bas yang masih menunggu ribut reda, terpaksa
menunggu di dalam bas. Kata ustazah, lebih selamat mereka di dalam bas dari
keluar ke khemah.
Khemah penyediaan makanan dipukul ribut
Penumpang masih di dalam bas
Salah satu dinding penghadang tandas telah ditumbangkan
angin. Sebuah khemah wanita bersebelahan khemahku yang terselak pintunya,
dirempuh angin hinggakan banyak tilam-tilam tunggang terbalik. Karpet di depan
khemah juga tergulung ditolak angin.
Dinding yang tumbang
730pm Janakuasa elektrik ditutup sebagai
langkah keselamatan. Bergelaplah kami sehingga 10 malam. Tiada pendingin hawa.
Tiada lampu.
Di Mekah juga telah dilanda ribut pasir.
Maghrib di Masjidil Haram dalam hujan dan angin kencang. Kiswah kaabah yang
akan ditukar esok telah terselak sehingga menampakkan batunya.
1030pm Yang menunggu dalam bas, baru boleh
turun. Aku bantu Jemaah yang baru masuk khemah, mencari tilamnya menggunakan
lampu suluh.
Aku lalu bersuaikenal dengan Jemaah di
sekelilingku. Selama ini, masing-masing di bilik hotel dan hanya bertemu di
dewan makan saja. DI Arafah, semua Jemaah dikumpul dalam satu khemah.
Arafah menguji kesabaran menguruskan nikmat
dunia. Arafah menguji ketahanan fizikal. Nak ke tandas perlu beratur hampir
setengah jam. Hanya untuk gosok gigipun masih kena beratur setengah jam. Nak
mandi pun, air terlalu panas. Sama seperti air di Mekah juga. Aku juga tidak
bersalin baju sehinggalah ke Mina.
Ribut
pasir di Arafah juga satu peringatan untuk para Jemaah, terutama aku. Apa yang
kita rancang tak semestinya menjadi kenyataan. Kuasa Allah menghantar angin
kencang begitu, tiada tempat nak bersembunyi dan berlindung. Terasa kecilnya
diri, ke mana saja boleh diterbangkan angin itu.








Comments
Post a Comment